Monday, July 30, 2012

Coretan Julai 2012

sudah lama tidak mengemaskini blog. Rasanya banyak perkara boleh dilakukan melalui blog termasuklah menyampaikan dan berkongsi sesuatu perkara. Kali ini saya akan tambil dengan informasi pendidikan yang lebih sinonim dengan jiwa pendidik. Sesiapa sahaja boleh melayari blog ini, dijadikan tatapan tempat perkongsian sumber maklumat. Semoga beroleh manfaat dan kebaikan.

Saturday, October 3, 2009

ketawa Terapi Kesihatan

ADA waktunya kita menempuh hari yang penuh dengan tekanan sedangkan tanpa kita sendiri ia sebenarnya boleh diredakan dengan sedikit jenaka dan ketawa.
Sebab itu terdapat ungkapan yang menyebut 'ketawa itu penawar duka terutama ketika memujuk mereka yang dilanda kemurungan atau kesedihan.
Kebenaran bahawa ketawa itu penawar duka yang mujarab juga sukar ditolak, kerana secara logik pada saat seseorang sedang ketawa tidak mungkin pada masa sama mereka memikirkan perkara yang menyedihkan.
Bahkan, sudah banyak dibuktikan bahawa seseorang yang sentiasa hidup gembira dianugerahkan kesihatan yang berpanjangan.
Golongan perubatan juga percaya bahawa ketawa bukan sekadar terapi yang mampu mengubat ketegangan atau tekanan, bahkan ia mampu menghindari pelbagai penyakit berbahaya termasuk kanser, kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.
Para doktor turut mengakui bahawa ketawa boleh meningkatkan kesihatan dari segi fizikal mahupun mental.
Seorang profesor perubatan dari University Of California Irnive, Amerika Syarikat, Lee Berk dan kumpulan penyelidiknya sejak bertahun-tahun berusaha merungkai bagaimana mood seseorang itu boleh memberi kesan kepada sistem imun dan mempunyai kaitan dengan penyakit.
Mereka mendapati bahawa ketawa turut mempunyai peranan dalam melawan virus, bakteria, kanser dan penyakit jantung.
Dalam laporan awalnya, Berk mendapati bahawa menonton video berbentuk humor selama sejam dapat mengurangkan penghasilan hormon stres dan membantu sistem imun tubuh menentang virus dan bakteria.
Bagaimanapun sebenarnya banyak lagi kesan yang dibawa oleh ketawa. Beliau membuat kajian terhadap 10 orang lelaki dengan mengukur tanda-tanda tekanan atau stres masing-masing dan memberitahu mereka bawah dalam tempoh tiga hari lagi mereka akan menyaksikan video humor.
Semangat atau perasaan setiap lelaki tersebut ternyata meningkat sebelum menyaksikan video itu lagi. Dua hari sebelum tayangan video tersebut tahap kemurungan (dipresi) menurun 51 peratus, kekeliruan 36 peratus, kemarahan 19 peratus, keletihan 15 peratus dan tekanan 9 peratus.
Sejurus selepas menyaksikan video humor tersebut, kemurungan dan kemarahan menurun 89 peratus, keletihan 87 peratus, kekeliruan 75 peratus dan tekanan 61 peratus.
Berk berkata, biarpun sekadar menunggu untuk melihat cerita-cerita humor sudah boleh menceriakan hidup dan mempunyai kesan pada kesihatan. Beliau menggelar pengaruh ini sebagai 'harapan biologi'.
"Kami percaya ini boleh membantu pesakit pulih daripada pelbagai masalah berkaitan mental," katanya.
Jadi secara kesimpulannya, merancang untuk menonton filem berbentuk humor atau menghabiskan masa dengan rakan-rakan yang sememangnya kelakar boleh memberi faedah kepada kesihatan anda.
Justeru beritahu bos, pensyarah atau pengerusi kelab yang anda sertai agar menyampaikan ucapannya dengan lebih ceria dan diselitkan sedikit dengan unsur-unsur kelakar jika mahu pekerja, pelajar atau ahli kelab yang sihat.
Anda juga boleh menampal petikan-petikan yang kelakar pada kalendar memandangkan ia boleh menjadi terapi yang baik.

Thursday, September 17, 2009

Cabaran Globalisasi secara fizikal

Cabaran

Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran ini adalah suatu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio budaya sesuatu kelompok masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang — bidang yang lain akan menjadi lebih mudah.

Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosio budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.

Adalah terlalu ketara untuk menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.

Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena di atas boleh disaksikan dengan insiden-insiden dan trend berikut:

* Pakaian jenama barat.
* Makanan segera keluaran barat.
* Minuman global yang ditaja oleh barat.
* Hiburan yang menonjolkan budaya barat.
* Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda.
* Rekreasi yang meniru ala barat.
* Dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat
* Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat.
* Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.

Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi kepada dominasi, golongan muda semakin terdedah kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang terputus dan terpisah jauh dari budaya hidup timur.

Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu