Friday, March 13, 2009

bagaimana untuk berjaya?

Setiap orang bercita-cita untuk berjaya. Bermula dari usia kecil lagi, kita ditanya cita-cita setelah menjadi dewasa kelak. Tentu sahaja saya sendiri tidak dapat melupakan pengalaman sewaktu dutanya berkenaan cita-cita. Malah saya tidak berkeyakinan untuk meluahkan cita-cita pada usia 6 tahun. Apa cita-cita kamu? Saya menoleh kawan-kawan yang leka bermain di sekeliling.. jawapan yang terpacul, hanyalah doktor, ataupun cikgu! walaupun pada masa itu saya mempunyai cita-cita yang hebat, iaitu menjadi manusia hebat seperti superman dan superboy(pengaruh kartun serta imaginasi).
Sekarang, fikirkan diri kamu pada waktu kecil. Apakah cita-cita suci kamu?Cuba fikirkan saat kamu ditanya oleh kawan ibu kamu atau ibu kamu sendiri? Apa pula cita-cita kamu pada masa kecil? doktor, engineer, cikgu, polis, pegawai, dan sebagainya? Bandingkan cita-cita kamu sekarang. apabila melalui kehidupan sekarang, barulah saya mula berfikir. Sebenarnya saya sekarang adalah sebagaimana yang saya kehendaki sewaktu kecil dulu. Waktu kecil, saya takut untuk menceritakan cita-cita kerana takut diketawakan oleh kawan-kawan!hahaha...

Contohnya, sewaktu darjah 6, saya telah pun menduduki pepriksaan. Guru besar masuk ke kelas saya sewaktu beliau melewati kelas kami. Seperti biasa, kelas yang hingar-bingar menjadi senyap dengan kehadiran beliau. Beliau bertanya tentang guru yang mengajar, tapi kami tidak tahu. Lagipun peperiksaan sudah habis. Kami datang ke sekolah pun kerana untuk melakukan aktiviti biasa, bermain dan berbual-bula dalam kelas! Akhirnya beliau naik ke pejabatnya dan kembali dengan kertas bersaiz A6 dan mengagihkan kepada kami. Di dalamnya tertulis sebuah karangan yang bisa difahami oleh murid seusia saya. Beliau memberikan satu cerita berkenaan perjalanan hidup seorang insan yang berjaya melanjutkan ke menara gading. Beliau memberikan karangan 150 patah perkataan itu kepada setiap murid-murid. Kisah itu cukup pendek, ringkas, dan menceritakan bagaimana seorang seorang pelajar itu berjaya semasa di sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah, menyambung pendidikan ke tingkatan enam dan akhirnya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Beliau menerangkan bahawa apa yang ditulis itu mirip perjalanan hidupnya sewaktu menjadi murid seperti kami. Ditambah pula dengan gaya beliau bercerita, kami tergelak ketawa sahaja. Saya menatap kertas kecil yang sebesar tapak tangan, dan membayangkan diri saya berada di tempat itu. Saya bayangkan diri kerdil ini berjaya di sekolah rendah, melewati ke sekolah menengah dan melanjutkan pelajaran ke universiti. alangkah bahagianya!
Cerita demi cerita kejayaan yang beliau sampaikan sampai kami tidak sedar yang semangat untuk masuk universiti bertambah berkobar-kobar!
Sewaktu beliau bercerita, beliau sering mengingatkan kami tentang kejayaan. Bagaimana kamu boleh berjaya?Kami diam sahaja. Beliau menambah, kalau mau berjaya, hendaklah mempunyai hati yang tekal dan semangat ke arah kejayaan serta bersedia untuk menghadapi pengalaman untuk berjaya. Orang yang berjaya bukanlah orang yang biasa-biasa, tapi merupakan orang yang selalu ditimpa perlbagai dugaan dan cabaran dalam hidup, kemudian mereka menjadikan kehidupan yang sukar dan penuh dugaan itu sebagai pengalaman untuk dijadikan pedoman untuk diri! Saya cukup tertarik dengan beliau kerana beliau telah memberi satu inspirasi yang mengubah diri saya sekarang.
Bayangkan sebelum itu saya tidak tahu ke mana jalan yang harus saya pilih untuk berjaya. Selepas mendengar ucapan yang penuh motivasi dan semangat itu, saya cuba untuk berubah seiring yang disampaikan oleh beliau. hal ini telah berlalu 10 tahun lepas. Kata-kata beliau masih saya ingati, tapi karangan sebesar tapak tangan itu telah pun hilang walaupun berkali-kali saya mencarinya. Terima kasih kepada guru besar saya kerana memberi semangat dan motivasi kepada kelas saya.
Secara jujurnya, saya berterima kasih kepada guru besar. Pertama, beliau masuk kelas kami pada waktu ketiadaan guru dan berjaya mengawal keadan pelajar. Katanya juga, kami akan mengganggu adik-adik darjah 5 ( yang berada berdekatan dengan kelas kami) belajar. Beliau meminta kami diam dan berbual-bual dengan kami.
Kedua, beliau memberikan satu motivasi secara tidak langsung. sebagai murid yang senior, sepatutnya menunjukkan nilai dan contoh yang baik kepada adik-adik. Di samping itu, beliau juga memberi motivasi untuk menaikkan semangat belajar setiap murid. Penyampaiannya yang bersahaja dengan diselangi dengan lawak selamba menarik perhatian kami, dan berjaya mencuri perhatian murid-murid. Secara tidak langsung, nilai humor memang penting dan mampu mengubah suasana persekitaran yang ceria.
Ketiga, nada dan intonasi yang digunakan semasa bercerita cukup mengkagumkan kami. muka guru besar langsung tidak serius, malah bagaikan seorang ketua komander yang memahami masalah yang dihadapi oleh anggota bawahnya. Kalaulah beliau bercakap, semua pelajar diam kerana beliau akan mengejutkan kami dengan lawak yang tidak disangka-sangka!
Keempat, beliau meronda setiap kelas di sekolah untuk memastikan kelas berada dalam keadaan terkawal dan menpunyai guru. Sikap beliau yang bersahaja serta tenang mempamerkan ketenangan yang akan kami peroleh. Beliau cukup faham dengan kerenah murid-murid seperti kami kerana kami masih budak kecil. Untuk dimarahi kerana bising bukanlah sebab yang munasabah. Pendekatan yang digunaka untuk mendiamkan pelajar terpulang kepada kebijaksanaan guru. Saya memuji cara BELIAU! Kalau ada survey, saya akan bagi A++ kat beliau..

No comments: