Pengalaman semasa belajar di university sangat mudah dan seronok, serta penuh dengan warna-warni. Pada awal semester, perlu mendaftar pengajian dan memilih kursus yang diminati. Kemudian pensyarah akan memberikan tugasan yang perlu dihantar sepanjang semester pengajian. Pada waktu itu, semangat juang untuk belajar jangan cerita! Berkobar-kobar. Pelajar akan menyibuk-nyibukkan diri mereka dengan mencari buku di perpustakaan, membeli buku rujukan di kedai buku, mencari dan menubuhkan kumpulan perbincangan, mencari mentor dan mentee, serta membeli segala peralatan yang diperlukan sepanjang pengajian, sama ada kegunaan peribadi ataupun untuk tugasan kerja kursus.
Ini adalah permulaan hidup pada awal semester. Kehidupan sebagai pelajar seperti biasa, pergi kuliah dan tutorial. Pelajar bebas untuk bergerak dalam universiti. Bagi mereka yang berkemampuan, kereta dan motosikal menjadi pilihan untuk memudahkan perjalanan ke sesuatu tempat. Bagi mereka yang sederhana, mereka menggunakan basikal untuk ke kuliah , secara tidak langsung mereka bersenam berbasikal untuk ke kelas, keluar juga la peluh di waktu pagi! Juga, kemudahan bas komuter turut disediakan untuk memudahkan pergerakan pelajar ke dewan kuliah. Bas hanya singgah 5 minit sekali mampu membawa pelajar ke destinasi dalam universiti dengan cepat. Perkhidmatan bas amat efektif kerana bermula seawal jam 6.45 pagi dan berakhir jam 10.00 malam.
Ada juga yang berjalan kaki untuk ke kuliah, kerana tempat penginapan dekat sahaja. Hendak naik motor pun serba salah. Lagipun , berjalan juga merupakan alah satu gaya bersenam yang digemari ramai. Di samping dapat menyihatkan badan dan menyaksikan panorama alam yang indah ini, kadangkala pandangan itu jatuh kepada si gadis yang berjalan kaki untuk ke kuliah. Tidak dinafikan, itu pun merupakan satu kelebihan bagi mereka yang berjalan kaki! Tuah badan katakan…
Begitulah kehidupan yang berlalu serba pantas. Bercakap mengenai gaya pemakaian pula, terdapat pelbagai fesyen dan gaya unik untuk ke kuliah. Bagi lelaki, ada yang berpakaian formal seperti kemeja, batik, seluar slack hitam, dan berkasut. Ada juga yang memakai pakaian kasual, dan berkasut untuk ke kuliah. Tidak kurang juga yang memakai t-shirt serta seluar beragam. Kebanyakan mereka tampil dengan gaya masing-masing dan ia terpulang pada kesesuaian diri dan tempat. Bagi kebanyakan gadis dan perawan, adakalanya mereka tampil dengan berbaju kurung dan bertudung litup. Tentu sahaja manis dan indah dipandang pada mata kaum Adam. Ada juga yang mengenakan jean dan t-shirt dan ada juga yang mengenakan gaya santai. Kaum Hawa ini juga bijak memperagakan personaliti masing-masing kerana mereka sudah pun melangkah ke alam dewasa, tentu sahaja perlu pandai membawa diri dan menjaga diri.
Begitulah sedikit sebanyak cerita tentang kehidupan pelajar di menara gading. Lain padang lain belalangnya. Mungkin gaya penampilan dan gaya hidup pelajar tidak sama antara universiti-universiti yang lain. Walau apapun, tidak dinafikan persamaannnya iaitu, pelajar universiti merupakan mereka yang telah bersedia untuk disematkan pangkat DEWASA sebagai tiket untuk mereka menjadi betul-betul dewasa. Itulah realitinya..
No comments:
Post a Comment