Tuesday, March 17, 2009

Kepentingan Penggunaan Peta Minda.

Pelbagai penyelidikan telah dibuat untuk membentuk dan menyusun strategi pembelajaran yang lebih berkesan terhadap pelajar-pelajar. Pembelajaran secara hafalan memerlukan daya ingatan yang kuat, tetapi ianya tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif malah ianya tidak sesuai di zaman yang serba maju ini.
Kaedah menghafal memerlukan konsentrasi yang tinggi dan pembacaan yang berulang kali supaya ia sentiasa diingati. Namun, bagi kaedah peta minda, seseorang pelajar perlu mengingati perkataan penting sahaja. Penggunaan warna dan perkataan penting membantu pelajar mengingati sesuatu perkara dengan mudah. Secara logiknya, mata merupakan pancaindera yang amat penting. Sebagai contoh, mata yang berfungsi untuk penglihatan akan merangsang tindakan seseorang itu apabila ianya melihat sesuatu yang dapat memberi sesuatu makna kepada dirinya. Seorang kanak-kanak yang masih kecil dan belum mengenal huruf dapat memahami sesuatu keadaan melalui penglihatan dan pemerhatian. Objek yang dilihat melalui mata akan menghasilkan sesuatu mesej melalui interpretasi yang dibuat di bahagian otak. Mesej yang dihasilkan akan menjadi mudah dan jelas sekiranya kita dapat merangsangkan pancaindera yang ada pada seseorang individu itu dengan cepat.
Oleh itu dalam proses pembelajaran, seseorang itu perlulah menyusun strategi agar segala maklumat pelajaran yang diperolehi dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Beberapa elemen yang dapat merangsangkan fungsi otak dan memudahkan pemahaman kita adalah seperti berikut:-
Teks. Penggunaan teks yang ringkas dan mudah difahami serta saiznya yang tidak begitu kecil dapat mengelakkan mata berasa letih serta seterusnya mengelakkan diri seseorang itu berasa bosan untuk membacanya.
Grafik. Bahan grafik seperti garisan anak panah, segi empat dan bulatan dapat digunakan untuk membentuk jaringan bagi memudahkan pemahaman bagi satu-satu topik.
Gambar. Dalam hal ini penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan pembacaan serta memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.
Dalam melakar peta minda atau pengurusan grafik, beberapa langkah perlu dibuat agar ianya dilakukan secara sistematik:-
Memahami isi petikan. Sekiranya sesuatu lakaran peta minda itu hendak dilakukan berdasarkan daripada bahan bacaan, maka bahan bacaan itu perlulah dibaca dan difahami secara keseluruhan terlebih dahulu.
Mengenalpasti isi dan huraian yang berkaitan. Ianya dapat dilakukan dengan cara menggaris isi-isi serta huraian-huraian yang dianggap ada kaitan dan relevan dengan topik bahan bacaan tersebut.
Melukis gambar. Gambar merupakan salah satu media yang dapat memberi rangsangan yang begitu cepat daripada teks. Gambar juga dapat memberi pelbagai interpretasi yang dapat mencetuskan pemikiran yang lebih kritis dan kreatif.
Proses membuat peta minda dapat memberi faedah maksimum kepada pelajar. Namun selain dari aspek luaran, secara tidak langsung:-
Menggalakkan latihan dalam pasukan. Peta minda dapat dilakukan melalui satu pasukan. Ini dapat menggalakkan pelajar-pelajar belajar secara kaloboratif dan koperatif.
Merangsang pembentukan idea. Lakaran yang dibuat yang merangkumi tulisan, grafik dan gambar dapat menambahkan lagi kreativiti seseorang individu ke arah pencetusan idea.
Melatih perkembangan potensi. Lakaran grafik dan gambar dapat memperkembangkan potensi kemahiran motor yang ada pada pelajar-pelajar. Kemahiran menganalisis. Setiap fakta yang dibaca terlebih dahulu perlu di analisis dan kemudian menyusunkannya untuk membentuk satu lakaran. Latihan ini seumpama ini adalah amat diperlukan ke arah pembentukan sikap yang analitikal.

No comments: